Saturday, November 21, 2009

AKTIVITI 9 : MATLAMAT-OBJEKTIF-PERSOALAN KAJIAN

KAEDAH PERMAINAN DALAM PENGAJARAN SUBJEK PERDAGANGAN DAN SAINS

Matlamat Kajian
Menarik minat dan perhatian pelajar untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kefahaman pelajar dalam subjek perdagangan dan sains.

Objektif Kajian
1.Mengubah amalan guru dalam pengajaran perdagangan dan sains secara kuliah kepada kaedah permainan
2.Meneroka dan menilai pengaplikasian kaedah permainan dalam topik pengajaran perdagangan dan sains

Persoalan Kajian

1.Adakah kaedah permainan dapat meningkatkan penglibatan dan minat pelajar dalam pembelajaran subjek perdagangan dan sains?
2.Adakah kaedah permainan akan meningkatkan kefahaman dan kemahiran pelajar untuk menguasai topik pembelajaran berdasarkan objektif dan isi pengajaran yang disampaikan oleh guru?

AKTIVITI 8 : MINI KAJIAN TINDAKAN (CADANGAN)

Berdasarkan tajuk kajian huraikan cadangan untuk mengatasi kelemahan pengajaran subjek berkenaan berdasarkan :

Cadangan Individu
Pada pendapat saya bagi menambahbaik kaedah ini guru perlu rajin mencari idea baru dalam setiap pengajaran mengikut topik. Contohnya mencari idea yang kreatif di internet dan buku-buku rujukan yang boleh mengaplikasikan kaedah permainan yang bersesuaian dengan objektif dan isi pengajaran bergantung pada subjek perdagangan dan sains.

Cadangan Kumpulan
Melalui perbincangan dalam kumpulan kami mencadangkan guru untuk membuat modul berkaitan dengan kaedah permainan mengikut topik dalam sukatan mata pelajaran perdagangan dan sains yang boleh diaplikasikan supaya dapat meningkatkan lagi pemahaman pelajar dalam matapelajaran tersebut. Melalui modul yang dibuat guru dapat merujuk kaedah permainan yang sesuai dan diubah mengikut kesesuaian umur, tahap pemikiran dan keupayaan pelajar.

Cadangan rakan-rakan luar pasukan
Rakan-rakan daripada pasukan luar memberi cadangan bahawa guru perlu mencuba pelbagai kaedah permainan supaya dapat dipelbagaikan dengan topik pengajaran perdagangan dan sains. Ini bagi mengelakkan pelajar bosan dengan permainan yang sama sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Melalui kepelbagaian kaedah permainan guru dapat melihat kecenderungan pelajar dalam jenis permainan yang dapat menarik perhatian dan meningkatkan kefahaman mereka.

Literatur Review

Buku
Lankshear C. & Knobel M. 2004. A Handbook For Teacher Research . New York : Open University Press.


Jurnal
Halimah Harun (2006), Minat, Motivasi dan Kemahiran Mengajar Guru Pelatih. Jurnal Pendidikan 31 : 83-96.

AKTIVITI 7 : MINI KAJIAN TINDAKAN (KELEMAHAN)

Berdasarkan tajuk kajian huraikan kelemahan pengajaran subjek perdagangan dan sains berdasarkan pengalaman/refleksi:



Refleksi Individu

Berdasarkan pengalaman sendiri, di dapati kaedah permainan ini mungkin boleh didominasi pelajar yang lebih pintar dalam sesuatu kumpulan. Mungkin juga ada pelajar yang pasif dan hanya membiarkan pelajar yang pintar untuk berfikir dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan guru terutama jika kaedah permainan yang digunakan guru menguji minda.



Refleksi Kumpulan

Dalam berbincangan bersama ahli kumpulan kelemahan kaedah permainan ini dilihat dari sudut bagaimana guru dapat mengaitkan subjek dengan kaedah permainan yang sesuai. Adalah dikuatiri kaedah ini tidak dapat dikaitkan dan pelajar tidak dapat menguasai objektif pembelajaran dengan permainan yang dijalankan. Guru perlu adaptasi setiap langkah permainan dengan isi pengajaran.



Refleksi rakan-rakan luar pasukan

Setelah menemubual rakan-rakan lain, mereka berpendapat guru perlu kreatif untuk mengaitkan permainan dengan topik yang hendak diajar supaya pelajar dapat menguasai isi pengajaran. Permainan yang diaplikasikan perlu sesuai dengan tahap umur dan keadaan pelajar (jika berkeperluan khas). Ada sesetengah permainan yang memerlukan tahap pemikiran tinggi untuk menyelesaikan permainan tersebut.



Literatur review

Buku
Lankshear C. & Knobel M. 2004. A handbook for Teacher Research. New York : Open University Press.


Jurnal
Halimah Harun. 2006. Minat, Motivasi dan Kemahiran Mengajar Guru Pelatih. Jurnal Pendidikan 31 : 83-96

AKTIVITI 6 : MINI KAJIAN TINDAKAN (KEKUATAN)

Berdasarkan tajuk kajian huraikan kekuatan pengajaran subjek perdagangan dan sains berdasarkan pengalaman/refleksi:


Refleksi Individu
Berdasarkan subjek perdagangan dan sains, kedua-dua subjek ini adalah lebih menarik jika di explore oleh pelajar melalui pendekatan yang berbeza berbanding mendengar penerangan guru semata-mata. Mengaplikasikan kaedah permainan untuk subjek ini dapat meningkatkan minat pelajar kerana bermain adalah fitrah bagi peringkat umur pelajar sekolah. Melalui kaedah permainan yang dilakukan guru dapat meningkatkan potensi kognitif pelajar untuk mengaitkan permainan dengan topik pembelajaran.


Refleksi Kumpulan
Setelah perbincangan dibuat dalam kumpulan, kami dapati kaedah permainan ini dapat meningkatkan minat pelajar dalam sesuatu topik. Jika dilihat daripada pengalaman melakukan micro teaching menggunakan kaedah permainan untuk pengajaran subjek perdagangan, rakan-rakan yang bertindak sebagai pelajar juga dilihat menunjukkan minat dalam melaksanakan tugasan yang diberikan guru (pelajar yang melakukan micro teaching) jika menggunakan kaedah permainan berbanding kaedah penerangan semata-mata. Guru perlu kreatif dalam mencipta permainan yang sesuai untuk diaplikasikan dalam pengajaran topik supaya objektif pengajaran tercapai dan pelajar mendapat manfaat daripada kaedah permainan yang digunakan oleh guru.

Selain itu semasa kaedah permainan dijalankan di dalam kelas guru dapat meningkatkan interaksi di antara pelajar-pelajar dan kolaborasi akan meningkatkan. Apabila unsur permainan dan persaingan diterapkan , pembelajaran aktif dan interaksi sosial akan berlaku.


Refleksi rakan-rakan luar kumpulan
Melalui hasil temubual dengan rakan berkenaan penggunaan kaedah ini, mereka bersetuju jika kaedah permainan digunakan dalam pengajaran kerana pada pendapat mereka kaedah ini dapat menguji kreativiti pelajar tetapi dalam masa yang sama pelajar dapat belajar dengan seronok dan lebih mengingati topik pembelajaran dengan mudah kerana dapat mengaitkan isi pengajaran dengan permainan yang mereka lakukan.


Literatur Review
Buku
Lankshear C. & Knobel M. 2004. A Handbook for Teacher Research. New York : Open University Press.

Jurnal
Halimah Harun. 2006. Minat, Motivasi dan Kemahiran Mengajar Guru Pelatih. Jurnal Pendidikan 31 : 83-96

Friday, November 20, 2009

AKTIVITI 4 : MINI KAJIAN TINDAKAN

Cadangan mini kajian tindakan yang anda ingin lakukan dalam pengajaran mikro yang berintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.


Tajuk mini kajian tindakan
Kaedah permainan dalam pengajaran subjek perdagangan dan sains

Peserta kajian
Rakan-rakan sekelas yang bertindak sebagai pelajar

Setting Kajian
Di dalam kelas Kaedah Mengajar Mikro dan Makro Perdagangan (Pn. Hajah Halimah) dan kelas Kaedah Mengajar Mikro dan Makro Sains (En. Zolkepeli)


Pemilihan Tajuk

Kumpulan kami memilih tajuk ini kerana penggunaan kaedah biasa dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu kaedah syarahan didapati tidak dapat menarik minat pelajar bagi subjek perdagangan dan sains. Oleh itu, satu kaedah yang dapat menarik minat perhatian pelajar untuk memahami subjek adalah kaedah yang dekat dengan diri pelajar iaitu kaedah permainan yang boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dikaitkan dengan subjek perdagangan dan sains.

AKTIVITI 3 : KOLOKIUM

Perbincangan tentang kesesuaian kajian tindakan yang dilakukan oleh peserta dengan maksud kajian tindakan

Perbincangan 1
Peranan Soal Jawab Pelajar untuk Meningkatkan Minat dan Penglibatan Pelajar dalan Subjek Biologi

Abstrak
Kajian tindakan ini dilakukan untuk membantu pelajar meningkatkan minat dan penglibatan mereka di dalam kelas subjek Biologi. Kajian ini dijalankan secara kolaboratif antara dua orang guru dan melibatkan seramai 50 orang pelajar dari dua kelas yang berbeza. Kurangnya penglibatan dan minat pelajar dalam memahami dan mendalami topik yang diajar khususnya keinginan untuk bertanya soalan amat tidak memberansangkan. Oleh itu, intervensi yang dijalankan memerlukan pelajar bekerjasama dalam kumpulan untuk mereka soalan dan kemudian saling menyoal soalan kepada kumpulan lain. Kesan intervensi dinilai melalui ujian pra dan ujian pos, pemerhatian guru terhadap gerak balas pelajar, temuabual dan refleksi pelajar. Dapatan kajian mendapati teknik soal jawab antara pelajar ternyata berjaya dalam meningkatkan minat dan penglibatan pelajar dalam kelas. Di samping itu, teknik soal jawab ini juga berjaya menimbulkan kerjasama sesama pelajar dan meningkatkan keyakinan serta mengikis sifat malu pelajar untuk bertanya soalan.

Adakah kajian di atas sesuai dengan maksud kajian tindakan dan nyatakan sebab sesuai / tidak sesuai?
Melalui kajian di atas didapati ia sesuai dengan maksud kajian tindakan kerana kajian ini dibuat setelah pengkaji melihat permasalahan yang berlaku di dalam kelas sewaktu pengajaran berlaku di mana pelajar dilihat kurang melibatkan diri dalam proses pembelajaran dan sukar memahami sesuatu topik kerana keinginan bertanya soalan amat tidak memberansangkan. Oleh itu pengkaji cuba mengubah kaedah pengajaran di dalam kelas bagi meningkatkan minat dan penglibatan pelajar dalam subjek biologi. Melalui kaedah soal jawab pelajar di antara kumpulan kecil dilihat dapat meningkatkan keyakinan pelajar untuk menjawab soalan. Dapatan daripada kajian ini didapati kaedah yang digunakan oleh guru dapat mengubah sikap malu bertanya pelajar.

Perbincangan 2
Meningkatkan Kesungguhan dan Ketekunan Belajar Menggunakan Teknik Ganjaran (Token) di Kalangan Murid Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar

Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kesungguhan dan ketekunan belajar menggunakan teknik ganjaran (token) di kalangan murid pendidikan khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar. Seramai tujuh orang murid pendidikan khas dalam sebuah kelas telah dipilih sebagai responden dalam kajian ini. Kesungguhan dan ketekunan murid pendidikan khas semasa proses pembelajaran amat penting dirangsangkan sebagai salah satu cara murid dapat terus menghayati, memahami dan mendalami apa yang dipelajari dengan lebih berkesan. Seterusnya, mereka berkebolehan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian. Dalam kajian ini, kami memilih untuk menggunakan pendekatan pengubahsuaian tingkahlaku bagi meningkatkan kesungguhan dan ketekunan murid untuk belajar. Pendekatan ini banyak mengamalkan peneguhan bagi mencapai matlamat pengubahsuaian tingkahlaku yang diingini. Manakala strategi pengurusan tingkahlaku yang dipilih pula adalah melalui teknik ganjaran sekunder - token. Aspek yang dikaji adalah meliputi tingkahlaku agresif, pasif, kognitif, bermasalah emosi, perlakuan negatif sosial dan kemahiran motor kasar. Kajian ini dilakukan sebanyak dua kitaran iaitu satu kitaran dijalankan pada bulan Ogos dan kitaran kedua pada September dan setiap ganjaran diberikan selepas setiap minggu penilaian dibuat. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan teknik ganjaran (token) dapat meningkatkan kesungguhan dan ketekunan murid untuk belajar.

Adakah kajian di atas sesuai dengan maksud kajian tindakan dan nyatakan sebab sesuai / tidak sesuai dengan maksud kajian tindakan?
Melalui kajian di atas didapati ia sesuai dengan maksud kajian tindakan kerana kajian ini dibuat setelah pengkaji mendapati agak sukar untuk meningkatkan kesungguhan dan ketekunan belajar bagi murid pendidikan khas. Oleh itu pengkaji cuba menggunakan teknik ganjaran (token) untuk meningkatkan kesungguhan dan ketekunan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui kaedah token ini, didapati murid bersungguh-sungguh untuk mengejar token yang diberikan oleh guru. Secara tidak langsung dapat menarik minta murid untuk belajar bersungguh-sungguh. Selain itu, ganjaran (token) yang digunakan turut dapat mengubah tingkahlaku murid untuk lebih positif kerana mereka ingin mendapatkan ganjaran (token) yang diberikan guru. Dapatan yang diperolehi menunjukkan bahawa kesungguhan dan ketekunan belajar dapat ditingkatkan dengan teknik ganjaran (token).

Monday, November 16, 2009

TUGASAN 1 : ULASAN BUKU

Check out this SlideShare Presentation:

Friday, November 13, 2009

AKTIVITI 5 : GURU NOVIS

Mengapa Guru Novis Perlu melakukan Kajian Tindakan?

Definisi Guru Novis:
Didefinisikan sebagai guru baru yang terlatih dan mula berkhidmat di antara 1 hingga 3 tahun, dalam tempoh percubaan dan belum disahkan lagi dalam jawatan. Guru Novis juga dipanggil sebagai guru sandaran terlatih (GST), iaitu nama jawatan yang dipegang oleh guru yang telah tamat menjalani latihan keguruan yang telah ditempatkan di sekolah.

Sebab Guru Novis perlu melakukan kajian tindakan:

  1. Guru dapat mengenalpasti kaedah yang berkesan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
  2. Guru dapat meningkatkan penggunaan BBM dengan lebih efektif.
  3. Guru dapat mengenalpasti amalan pelajar, cara pembelajaran, sikap pelajar dan suasana kelas.
  4. Guru dapat bertingkahlaku professional mengikut etika perguruan dan membuat refleksi kendiri terhadap prestasi pengajaran.
  5. Guru dapat mengamalkan konsep pembelajaran seumur hidup, membuat penyelidikan pendidikan dan melakukan perubahan dan mengaktifkan penglibatan diri dalam dunia pendidikan.

Saturday, November 7, 2009

AKTIVITI 2 : JURNAL

JURNAL 1
Levels Of Reflection In Action Research. An Overview And An Assessment Tool
By:Mervat Abou Baker El-Dib

Abstrak
Dalam jurnal ini pengkaji ingin mengenalpasti tahap pemikiran reflektif bakal guru yang dipamerkan dalam kajian tindakan yang dilakukan semasa menjalani latihan mengajar serta mengetahui tahap pemikiran reflektif bakal guru terhadap situasi yang berlaku. Bagi mengukur tahap pemikiran reflektif tersebut pengkaji menggunakan pendekatan perbincangan jurnal di dalam kuliah sebelum bakal guru membuat latihan mengajar. Seterusnya pengkaji membuat analisis melalui pemerhatian semasa membuat pemantauan pelajar di tempat latihan mengajar.


JURNAL 2
Improvement of off-task behavior of elementary and high school students through the use of cooperative learning strategies.
By: Rebecca pate-clevenger, Jennifer dusing, Phyllis houck & John Zuber.

Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengurangkan masalah sikap pelajar di dalam bilik darjah iaitu sikap malas untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Satu kaedah yang digunakan oleh penyelidik adalah dengan menggunakan pengajaran kooperatif. Di akhir kajian ini menunjukkan bahawa kaedah ini sangat berkesan kerana pelajar mula menunjukkan perubahan sikap malah dapat meningkatkan skill komunikasi antara pelajar dan guru.


JURNAL 3
An Action Research Exploration Integrating Student Choise and Arts Activities in a Sixth Grade Social Studies Classroom
By: Courtney Kosky, West Virginia University and Reagan Curtis, west Virginia University


Abstrak
Kami melaporkan terhadap kajian tindakan menjamin untuk mencari bagaimana mengintegrasikan Seni dalam pendidikan sosial boleh meningkatkan penglibatan dan motivasi dan impak pencapaian pelajar melalui motivasi dan penglibatan yang meningkat. Rancangan pengajaran awal menekankan kebijaksanaan semasa mengintegrasikan aktiviti kesenian dan diubahsuai berdasarkan nota refleksi guru dan maklumbalas. Kami mendapati memberi pelajar contoh dalamapakah aktiviti yang memberikan impak yang paling berkesan dalam motivasi dan penglibatan mereka. Ramai pelajar pengajian sosial memberi respon dalam integrasikan aktiviti kesenian dan pilihan pelajar.

AKTIVITI 1 : TUGASAN 1 BUKU

APA ITU KAJIAN TINDAKAN?

A Handbook For Teacher Research : From Design to Implementation
By Colin Lankshear & Michele Knobel
Kajian tindakan adalah inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan oleh guru dalam situasi pengajarannya sebagai penyelidik melalui tindakan praktik yang bertujuan untuk membaiki atau meningkatkan amalan sedia ada, di samping meningkatkan kefahaman tentang amalan tersebut.

Action Research in Teaching & Learning :
A Practical guide to conducting pedagogical
By Lin S. Norton
Mengikut penulis ini, kajian atau satu inkuiri yang sistematik dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan gabungan beberapa matlamat untuk memperbaiki latihan dan menyumbangkan teori pengetahuan untuk menjadikan pengajaran berkesan. Kajian tindakan adalah membuat refleksi ke atas kaedah pengajaran.

Curriculum action research :
A handbook of methods and resources for the reflective practitioner 2nd edition
By James McKernan
Kajian tindakan merupakan satu usaha untuk menjadikan permasalahan sosial mampu difahami untuk meningkatkan kualiti hidup dalam setting sosial.Kajian tindakan telah digunakan dalam industri, pendidikan dan setting tingkah laku komuniti bagi menyelesaikan selesaikan masalah yang dihadapi setiap hari yang dilalui.

TUGASAN 2 : ULASAN JURNAL


JURNAL 1
Resolving Leadership dilemmas in New Zealand Kindergartens:
An Action Research Study
By:
Carol Cardno and Bronwyn Reynolds

(Sumber : Emerald)


PENYATAAN MASALAH
Mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh guru besar di sekolah tadika dan seterusnya meningkatkan keupayaan mereka dalam menyelasaikan masalah berkaitan kepimpinan.


SAMPEL KAJIAN
·16 orang Guru Besar Tadika
·6 orang Pengurus Profesional


SETTING KAJIAN

· Sekolah Tadika

PROSEDUR

·Dalam kajian ini data dikumpul melalui peninjauan.
·Seterusnya kolaborasi daripada pihak professional untuk perbandingan sebagai komponen penilaian.
·Akhirnya penilaian sebenar dilakukan hasil daripada kajian tindakan.

Proses Kajian Tindakan:
Peninjauan – Penyiasatan dan analisis
Kolaborasi – Perancangan dan tindakan
Penilaian – Refleksi tindakan dan dapatan

PENGUMPULAN DAN PENGANALISISAN DATA

Pengumpulan data secara kuantitatif:
Open-ended questionnaire
· Ujian-Pra
· Ujian-Pos
Pengumpulan data secara kualitatif:
· Borang maklum balas
· Temubual

Penganalisisan data:
Sepanjang proses kajian, pengkaji membuat mesyuarat dalam mengumpulkan makluat dan analisis kajian dibuat dalam pusingan kedua dengan menekankan aspek pendedahan terhadap pengendalian dilema kepimpinan secara teori dan kemahiran.

PAPARAN KAJIAN
Dapatan kajian dibuat dalam bentuk persoalan yang menjawab kepada setiap permasalahan.

KESIMPULAN

Pengkaji mendapati bahawa guru besar di sekolah tadika memang sukar untuk menguruskan dilema kepimpinan. Ini adalah kerana mereka tidak didedahkan dengan masalah kepimpinan yang biasanya terjadi dalam organisasi pengurusan. Melalui kajian yang dibuat setelah guru besar diberikan pendedahan untuk memahami bagaimana untuk berhadapan dengan masalah kepimpinan dengan menggunakan pendekatan teori dan kemahiran, kesannya mereka lebih mahir untuk berhadapan dengan sebarang dilema berkaitan dengan kepimpinan di sekolah.



JURNAL 2
Levels Of Reflection In Action Research. An Overview And An Assessment Tool
By:
Mervat Abou Baker El-Dib


(Sumber : ScienceDirect)

PENYATAAN MASALAH
Mengenalpasti tahap pemikiran reflektif bakal guru dalam kajian tindakan yang dilakukan semasa menjalani latihan mengajar serta mengetahui tahap pemikiran reflektif yang dipamerkan dalam melakukan kajian tindakan.

SAMPEL KAJIAN
· 50 daripada 230 orang pelajar universiti tahun tiga dipilih secara rawak
· 50 daripada 250 orang pelajar universiti tahun empat dipilih secara rawak

*Kesemua pelajar yang terlibat bakal melakukan kajian tindakan semasa menjalani latihan mengajar.

SETTING KAJIAN
· Fakulti Pendidikan di Egypt


PROSEDUR
Kajian dijalankan secara kolaboratif (guru pelatih dan pensyarahnya)
Pensyarah memperkenalkan topik kajian tindakan dan meminta pelajar membaca artikel dan seterusnya membincangkan artikel tersebut.
Pelajar kemudian diminta membuat kajian tindakan semasa latihan mengajar.
Hasil laporan kajian tindakan pelajar dinilai untuk melihat tahap pemikiran reflektif.
Pengkaji mengklasifikasikan dapatan dengan melihat 5 aspek.
1. Penyataan Masalah
2. Perancangan
3. Tindakan
4. Tinjauan semula
5. Keseluruhan

PENGUMPULAN DAN PENGANALISISAN DATA
Pengumpulan data secara kualitatif :
·Temubual pensyarah-pelajar
·Jurnal
·Tinjauan semasa menyelia pelajar
·Catatan pensyarah.
·Analisis kajian dilakukan secara berterusan sepanjang kajian dijalankan.

Penganalisisan data :
Pengkaji meneliti data secara menyeluruh dan tetapkan data mengikut kategori penilaian yang dikehendaki.
1. Kaedah yang digunakan perlu fokus kepada pemikiran reflektif.
2. Penilaian yang dilakukan tidak mengenakan keperluan tambahan.
3. Kaedah yang spesifik.
4. Kebolehpercayaan dalam pengujian yang sewajarnya.

PAPARAN KAJIAN
Dapatan kajian dibuat dalam bentuk jadual dengan melakukan Z-test


KESIMPULAN
Pengkaji mendapati bahawa beliau perlu menggunakan kaedah yang berbeza untuk membantu pelajar dalam memahami kajian tindakan dengan lebih baik. Pengkaji menggunakan pendekatan yang berbeza mengikut tahap pemahaman pelajarnya secara berperingkat. Setelah menggunakan kaedah saringan untuk mengetahui tahap pemahaman pelajar, pengkaji membuat ujian dan membrikan tugasan bagi meningkatkan pemahaman pelajar. Langkah ini diteruskan sehingga terdapat peningkatan pemahaman pelajar terhadap kajian tindakan. Setelah pendekatan ini digunakan pengkaji mendapati ia berkesan untuk meningkatkan pemahan pelajar dengan memberikan penjelasan dengan meminta pelajar membuat beberapa tugasan sebelum melakukan kajian tindakan yang sebenar.



JURNAL 3
An Action Research Exploration Integrating Student Choice And Arts Activities In A Sixth Grade Social Studies Classroom
By:
Courtney Kosky and Reagan Curtis


(Sumber : ProQuest)

PENYATAAN MASALAH
Meningkatkan penglibatan serta motivasi pelajar dan pencapaian pelajar dengan menyepadukan aktiviti kesenian di dalam matapelajaran sains sosial.

SAMPEL KAJIAN
·650 orang pelajar sekolah gred 6 dalam aliran sains sosial

SETTING KAJIAN
·Kelas
·Sekolah

PROSEDUR
·Kajian dijalankan secara kolaboratif (guru pelatih dan pensyarahnya)
·Kajian ini dijalankan sebanyak 20 kali dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan menyepadukan aktiviti kesenia di dalam subjek sains social.
·Pelajar diberi tugasan untuk dilaksanakan dan perlu melakukan pembentangan melalui pendekatan seni seperti dalam bentuk bercerita, lakonan dan penghasilan peta.

PENGUMPULAN DAN PENGANALISISAN DATA

Pengumpulan data secara kuanlitatif:
·Temubual guru-pelajar
·Komen berskala daripada pelajar
·Ujian dan latihan
·Catatan guru
·Pemerhatian sikap
·Rubrik

Penganalisisan data :
·Analisis kajian dilakukan secara berterusan sepanjang kajian dijalankan.
·Guru membuat refleksi pengajaran setiap hari berdasarkan skala daripada pelajar.

PAPARAN KAJIAN
Dapatan kajian dibuat dalam bentuk graf bagi melihat peningkatan pencapaian pelajar.

KESIMPULAN
Pengkaji membuat tinjauan yang sama bagi meningkatkan penglibatan pelajar di dalam proses pembelajaran mereka melalui kaedah integrasi seni ini. Oleh yang demikian, prestasi pelajar semakin meningkat di dalam pembelajaran mereka kerana mereka dapat belajar di dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Selain itu, kaedah ini dapat meningkatkan komunikasi di antara pelajar