AKTIVITI 3 : KOLOKIUM
Perbincangan tentang kesesuaian kajian tindakan yang dilakukan oleh peserta dengan maksud kajian tindakan
Perbincangan 1
Peranan Soal Jawab Pelajar untuk Meningkatkan Minat dan Penglibatan Pelajar dalan Subjek Biologi
Abstrak
Kajian tindakan ini dilakukan untuk membantu pelajar meningkatkan minat dan penglibatan mereka di dalam kelas subjek Biologi. Kajian ini dijalankan secara kolaboratif antara dua orang guru dan melibatkan seramai 50 orang pelajar dari dua kelas yang berbeza. Kurangnya penglibatan dan minat pelajar dalam memahami dan mendalami topik yang diajar khususnya keinginan untuk bertanya soalan amat tidak memberansangkan. Oleh itu, intervensi yang dijalankan memerlukan pelajar bekerjasama dalam kumpulan untuk mereka soalan dan kemudian saling menyoal soalan kepada kumpulan lain. Kesan intervensi dinilai melalui ujian pra dan ujian pos, pemerhatian guru terhadap gerak balas pelajar, temuabual dan refleksi pelajar. Dapatan kajian mendapati teknik soal jawab antara pelajar ternyata berjaya dalam meningkatkan minat dan penglibatan pelajar dalam kelas. Di samping itu, teknik soal jawab ini juga berjaya menimbulkan kerjasama sesama pelajar dan meningkatkan keyakinan serta mengikis sifat malu pelajar untuk bertanya soalan.
Adakah kajian di atas sesuai dengan maksud kajian tindakan dan nyatakan sebab sesuai / tidak sesuai?
Melalui kajian di atas didapati ia sesuai dengan maksud kajian tindakan kerana kajian ini dibuat setelah pengkaji melihat permasalahan yang berlaku di dalam kelas sewaktu pengajaran berlaku di mana pelajar dilihat kurang melibatkan diri dalam proses pembelajaran dan sukar memahami sesuatu topik kerana keinginan bertanya soalan amat tidak memberansangkan. Oleh itu pengkaji cuba mengubah kaedah pengajaran di dalam kelas bagi meningkatkan minat dan penglibatan pelajar dalam subjek biologi. Melalui kaedah soal jawab pelajar di antara kumpulan kecil dilihat dapat meningkatkan keyakinan pelajar untuk menjawab soalan. Dapatan daripada kajian ini didapati kaedah yang digunakan oleh guru dapat mengubah sikap malu bertanya pelajar.
Perbincangan 2
Meningkatkan Kesungguhan dan Ketekunan Belajar Menggunakan Teknik Ganjaran (Token) di Kalangan Murid Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kesungguhan dan ketekunan belajar menggunakan teknik ganjaran (token) di kalangan murid pendidikan khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar. Seramai tujuh orang murid pendidikan khas dalam sebuah kelas telah dipilih sebagai responden dalam kajian ini. Kesungguhan dan ketekunan murid pendidikan khas semasa proses pembelajaran amat penting dirangsangkan sebagai salah satu cara murid dapat terus menghayati, memahami dan mendalami apa yang dipelajari dengan lebih berkesan. Seterusnya, mereka berkebolehan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian. Dalam kajian ini, kami memilih untuk menggunakan pendekatan pengubahsuaian tingkahlaku bagi meningkatkan kesungguhan dan ketekunan murid untuk belajar. Pendekatan ini banyak mengamalkan peneguhan bagi mencapai matlamat pengubahsuaian tingkahlaku yang diingini. Manakala strategi pengurusan tingkahlaku yang dipilih pula adalah melalui teknik ganjaran sekunder - token. Aspek yang dikaji adalah meliputi tingkahlaku agresif, pasif, kognitif, bermasalah emosi, perlakuan negatif sosial dan kemahiran motor kasar. Kajian ini dilakukan sebanyak dua kitaran iaitu satu kitaran dijalankan pada bulan Ogos dan kitaran kedua pada September dan setiap ganjaran diberikan selepas setiap minggu penilaian dibuat. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan teknik ganjaran (token) dapat meningkatkan kesungguhan dan ketekunan murid untuk belajar.
Adakah kajian di atas sesuai dengan maksud kajian tindakan dan nyatakan sebab sesuai / tidak sesuai dengan maksud kajian tindakan?
Melalui kajian di atas didapati ia sesuai dengan maksud kajian tindakan kerana kajian ini dibuat setelah pengkaji mendapati agak sukar untuk meningkatkan kesungguhan dan ketekunan belajar bagi murid pendidikan khas. Oleh itu pengkaji cuba menggunakan teknik ganjaran (token) untuk meningkatkan kesungguhan dan ketekunan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui kaedah token ini, didapati murid bersungguh-sungguh untuk mengejar token yang diberikan oleh guru. Secara tidak langsung dapat menarik minta murid untuk belajar bersungguh-sungguh. Selain itu, ganjaran (token) yang digunakan turut dapat mengubah tingkahlaku murid untuk lebih positif kerana mereka ingin mendapatkan ganjaran (token) yang diberikan guru. Dapatan yang diperolehi menunjukkan bahawa kesungguhan dan ketekunan belajar dapat ditingkatkan dengan teknik ganjaran (token).
0 comments :
Post a Comment